Kajian pertama tentang kesan televisyen yang dilakukan dengan lengkap adalah yang disebut Payne fund Studies Film and their Effect on Children, yang berlangsung selama empat tahun 1929-1932. Hasil kajian ini sebanyak dua belas jilid telah diterbitkan oleh Macmillan di antara tahun 1933-1935. Pada tahun 1961, UNESCO menerbitkan sebuah bibliografi ”The Influence of the Cinema on Children and Adolescent” yang berisikan 491 buku, artikel dan journal.
Persoalan kesan media massa merupakan suatu yang “evergreen” dan telah dibincangkan sejak dahulu lagi. Jarang sekali kita mendengar orang berbicara tentang media massa amat baik dan bagus. Hakikatnya, memang begitu kerana ia punya peranan tersendiri dalam membangun dan mengembangkan sesebuah budaya. Tetapi, realiti yang kita lihat lebih banyak kesan negatif daripada positif hasil media massa. Pada hari ini sahaja kita telah melihat betapa kebudayaan Negara kita sedikit demi sedikit berkurang ditelan budaya luar.
Sebelum kita terokai lebih jauh kesan-kesan dan mengpa ia berlaku, kita semak kembali apakah yang dikatakan tentang kebudayaan. A. Aziz Deraman di dalam bukunya “Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia” menakrifkan kebudayaan itu ialah apa juga yang kita fikir, buat dan punyai dalam kehidupan merangkumi semua bidang kehidupan baik pengetahuan, kepercayaan, kesenian, undang-undang, moral, adat istiadat dan apa juga cara hidup kita yang merupakan penglahiran dari apa yang kita warisi daripada masyarakat kita.
Media massa pula ialah medium penyampai maklumat, alat penghibur, penyebar budaya dan sebagainya. Antaranya ialah radio, televisyen, surat khabar, majalah, pengiklanan, filem dan yang terbaru internet. Dan pastinya media massa seperti ini sentiasa mengalami perubahan dan evolusi dari semasa ke semasa. Bertitik tolak daripada evolusi itulah telah menyebabkan persaingan setiap media massa untuk menarik perhatian masyarakat.
Sama ada sedar ataupun tidak manusia adalah makhluk yang sentiasa melahirkan budaya dalam setiap nafasnya. Budaya menjadi sebahagian dari hidupnya sekaligus system nilai yang mempengaruhi hidupnya. Justeru, media massa pada abad ke-20 inilah yang berperanan dalam perubahan nilai yang berlaku dalam Negara. Ini kerana, manusia adalah entiti masyarakat manakala masyarakat pula adalah salah satu entiti Negara.
Umum mengetahui media massa sekarang ini secara langsung mahupun tidak langsung telah menjadi perantara pengimport budaya asing. Media cenderung mengusung budaya massa atau budaya popular yang berorientasikan pada industri massa dan berkiblatkan budaya barat. Prof Soejoko daripada Indonesia menyatakan bahawa budaya massa merupakan budaya yang dibuat untuk tujuan konsumerisme, kerana itu budaya ini dibuat asalkan jadi, asalkan menghibur, dan yang penting asalkan menghasilkan wang sebanyak-banyaknya.
Kita cuba melihat realiti yang berlaku. Dari segi budaya politik sedikit sebanyak terkesan daripada media massa. Sebagai contoh, pelaksanaan pemerintahan dan pembangunan sains dan teknologi juga hasil daripada media massa. Jika para pemimpin tidak melihat televisyen, tidak membaca buku dan melayari internet, masakan terfikir untuk memabngunkan negara bermodelkan apa yang barat bawa. Sesungguhnya ini suatu kesan yang baik. Namun, kadang-kadang mengabaikan soal kepentingan bahasa dek kerana terlalu mengejar pembangunan teknologi. Bukankah bahasa adalah salah satu aspek kebudayaan negara.
Charters (1934) seorang pengkaji barat sendiri mengemukakan bahawa pada tahun 1930, tiga tema besar filem yang dipertunjukkan adalah: cinta (29.6%), kejahatan (27.4%), dan seks (15.0%). Di dalam kategori kejahatan yang 27.4% itu, isinya adlah mengenai pemerasan, penganiayaan, dendam dan pembalasan. Peratus ini adalah apa yang berlaku di barat pada 79 tahun yang lampau. Pastinya pada hari ini lebih teruk. Kesan yang paling ketara dalam budaya sosial di dalam Negara kita ialah nilai akhlak anak-anak muda. Budaya hormat-menghormati, sopan santun, apatah lagi mempertahankan adat resam budaya kebangsaan itu sendiri kian pudar kerana terpana dengan budaya asing.
Namun begitu, segala kesan –kesan yang berlaku bukanlah semata-mata daripada media massa. Adalah suatu yang tidak adil jika kita menyalahkan sepenuhnya kepada media. Ini kerana semuanya itu bergantung kepada tahap pendidikan dan pemikiran sesorang. Psikologi seperti ini penting dalam mengukur kesan sesuatu. Jika persekitaran seseorang tiada pendidikan agama yang sempurna maka penerimaan terhadap apa yang media siarkan akan diambil bulat-bulat. Begitu juga sebaliknya.
Justeru, kita dapat ketahui bahawa media massa membawa kesan yang amat besar dalam perubahan kebudayaan sesebuah Negara di samping pendidikan lain yang diterima oleh masyarakat. Ia mempunyai kuasanya tersendiri. Tiada seorang pun daripada kita mampu lepas daripada jeratan kuasa media. Sehari-hari kita menatap televisyen, mendengar radio, membaca buku dan melayari internet. Hanya tinggal bagaimana masyarakat mendepaninya. Barulah datang kesan sama ada positif atau negatif.
baca selanjutnya......
Baca Selengkapnya......